Monday, February 8, 2016

ASAL KEJADIAN ADAM DAN SITI HAWA; SERTA PERINTAH TURUNNYA NABI ADAM A.S. KE MUKA BUMI




Manusia pertama diciptakan oleh Allah S.W.T. adalah Nabi Adam A.S., iaitu nabi yang diutuskan oleh Allah untuk turun ke bumi sebagai khalifah di muka bumi. Adam diciptakan daripada tanah, manakala manusia pula diciptakan daripada dua benih dari benih lelaki dan perempuan. Hanya Adam A.S. dijadikan daripada pati tanah liat yang kering dan hitam, manakala manusia dijadikan daripada air mani yang terpancar daripada dua tulang sulbi manusia.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat,"Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka (malaikat) berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 30.

"Maka hendaklah manusia memikirkan: daripada apakah ia diciptakan? Dia diciptakan dari air (mani) yang memancar (ke dalam rahim). Yang keluar dari tulang salbi lelaki dan tulang dada perempuan."

Juga petikan dari firman Allah di dalam surah At-Thariq, ayat 5-7.

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.”

Firman Allah di dalam surah Al-Hijr, ayat 26.

Ketika kejadian Nabi Adam A.S., Allah mengarahkan semua malaikat untuk patuh kepada Adam. Semua malaikat tunduk dengan perintah Allah kecuali syaitan. Allah telah murka dengan syaitan lalu mencampakkan ia ke dalam neraka, melalui tujuh pintu neraka jahanam. Syaitan telah menjadi sombong lalu bersumpah akan menyesatkan anak Adam sehingga ke hari kiamat.

Adam dikurniakan seorang pendamping yang sangat menyayanginya iaitu Siti Hawa. Siti Hawa diciptakan daripada tulang rusuk yang paling atas disebelah kiri Nabi Adam A.S. Mereka hidup bahagia di dalam syurga. Mereka mendapat segala nikmat dan kemakmuran sehingga pada suatu hari syaitan menggoda Nabi Adam supaya memakan buah epal (khuldi) lalu syaitan berjaya menggodanya.

Maka Adam A.S. telah mengakui kesalahannya kerana memakan buah khuldi, lalu terlucutlah segala pakaian yang menyelubungi tubuh badan Adam kerana terlalu taksub untuk merasai nikmat syurga. Allah memurkai tindakan Adam lalu memerintahkan Adam supaya turun ke bumi. Maka Nabi Adam A.S. dan Siti Hawa pun berada di bumi sebagai khalifah pertama yang memerintah kaum manusia.